Wednesday 22 May 2013

Nasib Pembunuh Susilawati diketahui esok


Kes Bunuh Susilawati


SHAH ALAM - Kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya serta tiga rakannya boleh dianggap tragik seperti juga kes pembunuhan bekas Adun Batu Talam, Datuk Idrus @ Mazlan Idris 17 tahun lalu, yang membabitkan Maznah Ismail atau Mona Fendy.

Dalam kes bekas Adun itu mayatnya ditemui ditanam di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Peruas, Ulu Dong dekat Raub, Pahang dengan keadaan anggota badannya dipotong kepada 18 bahagian oleh pasangan bomoh Nor Affendy Abdul Rahman, isterinya, Mona Fendy serta pembantu mereka, Juraimi Husin.

Kes pembunuhan Sosilawati serta tiga individu pula dianggap kejam kerana kesemua mangsa didakwa dibakar dan abu mereka dibuang ke sungai berhampiran lokasi pembunuhan di Ladang Gadong, Tanjung Sepat, Banting, Selangor.

Apakah dakwaan itu benar dan apakah mereka yang didakwa bersalah atau tidak akan diputuskan Mahkamah Tinggi Shah Alam esok. Yang didakwa dalam kes itu adalah bekas peguam N Pathmanabhan dan tiga pekerja ladang.

Thilaiyalagan tak kenal mangsa

Semalam, Mahkamah Tinggi di sini dimaklumkan bahawa tertuduh kedua, T Thilaiyalagan tidak mengenali kesemua mangsa iaitu jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya yang didakwa dibunuh di Ladang Gadong, Banting pada malam 30 Ogos 2010.

Peguam Gurbachan Singh mewakili Thilaiyalagan berkata, tiada sebab untuk anak guamnya itu melakukan pembunuhan kerana dia tidak pernah bertemu dengan kesemua mangsa tersebut.

“Jika Thilaiyalagan tidak kenal siapa mangsa adalah mustahil dia boleh melakukan jenayah serius seperti yang dituduh.

“Thilaiyalagan, R Matan dan R Kathavarayan adalah pekerja di ladang milik bekas peguam N Pathmanabhan,” katanya.

Menurutnya, keterangan saksi pendakwaan sebelum ini juga gagal beri bukti cukup mengenai empat orang yang didakwa dibunuh tertuduh pada tarikh tersebut.

“Saya berpendapat oleh kerana tiada bukti cukup, Akta Keterangan 1950 yang menyatakan adanya empat mangsa dibunuh tidak boleh disalahgunakan. Begitu juga dakwaan mengenai empat orang itu dipukul, dibunuh dan dibakar gagal dibuktikan,” katanya.

Beliau berkata, oleh kerana elemen ini gagal dibuktikan ia tidak boleh menjadi anggapan niat bersama.

Selepas mendengar hujahan itu Hakim Datuk Akhtar Tahir kemudian menetapkan esok sebagai keputusan kes.

DNA mangsa ditemui

Nasib Pathmanabhan dan tiga pekerja ladangnya, Thilaiyalagan, Matan serta Kathavarayan sama ada dibebaskan atau dihukum atas tuduhan membunuh Sosilawati dan tiga lagi diputuskan Mahkamah Tinggi di sini, esok.

Hakim Datuk Akhtar Tahir akan membuat keputusan di akhir kes pembelaan selepas selesai mendengar hujahan pihak pembelaan pada 14, 15 dan 21 Mei lalu.

Pathmanabhan, 44, Thilaiyalagan, 21, Matan, 22, dan Kathavarayan, 32, didakwa membunuh Sosilawati, 47; pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 44; peguam, Ahmad Kamil Abd Karim, 32; dan pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohamad, 38.

Mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu di Lot No 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting dekat sini, antara jam 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos 2010.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd Yusoff, Saiful Edris Zainuddin, Idham Abd Ghani, Nur Azimul Azami Mohamad Nor dan Siti Rohaida Che Hamid manakala barisan peguam bela yang mewakili tertuduh pula adalah Manjeet Singh Dhillon, Gurbachan Singh, Amer Hamzah Arshad dan Hasshahari Johari Mawi.

Perbicaraan yang bermula pada 4 Julai 2011 itu berjalan selama 110 hari dengan 108 saksi pendakwaan dan 30 saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan serta 742 bahan bukti dikemukakan selain 6,000 nota prosiding dikemukakan kepada mahkamah.

Pada perbicaraan peringkat pendakwaan, mahkamah menyebut bahawa asid deoksiribonukleik (DNA) milik Noorhisham ditemui pada kayu kriket yang dirampas dari sebuah rumah di ladang tersebut.

Selain itu, DNA Ahmad Kamil dan Kamaruddin turut ditemui pada kepingan zink yang dikatakan diguna untuk mengalas mayat mereka semasa pembakaran.

Pembantu rumah warganegara Indonesia, Siti Hamidah Karnax semasa memberi keterangan pula mendakwa mendengar jeritan suara wanita dan melihat api besar selain nampak tertuduh terbabit berada di ladang tersebut pada petang dan malam 30 Ogos 2010.

Bagi mengukuhkan lagi bahawa kesemua tertuduh terlibat dalam kes pembunuhan tersebut, pendakwaan turut S Usharani, isteri jutawan dari Chennai, India, A Muthuraja yang dilaporkan hilang sehingga hari ini selepas datang ke Malaysia untuk menemui Pathmanabhan pada 18 Januari 2010.

Sepanjang perbicaraan, tiga bicara diadakan bagi mengetahui keadaan minda tertuduh yang membawa kepada penemuan barang-barang kes serta kenyataan beramaran yang dirakam oleh pihak polis daripada Suresh dan seorang lagi pekerja ladang K Sarawanan.

Kesimpulan

Dalam perbicaraan yang memakan masa hampir tiga tahun itu, pihak pendakwaan telah pun berusaha mengemukakan bukti yang ada, sementara pihak pembelaan sedaya upaya memberi hujah untuk membuktikan anak guam mereka tidak bersalah dan perlu dibebaskan.

http://cikyanzone.blogspot.com/ SUMBER

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Blog Anda Di Sini